BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, January 26, 2011

AKU KOMEN ORANG,ORANG KOMEN AKU!!

SITUASI:
Ketika sedang melayari sebuah laman web hiburan, saya terbaca satu petikan kata-kata seorang penerbit tanah air yang terkenal iaitu David Teo. Antara petikan kata-kata beliau ialah:

“untuk menjadi seorang pelawak yang bagus, kita perlu mempersembahan lawak yang bagus dan bermutu yang mampu membuatkan orang gelakkan lawak kita”.

Kata-kata ini diucapkan oleh beliau ketika memberi komen kepada salah seorang daripada peserta Raja Lawak.



ULASAN:
Sekiranya kita membaca secara imbasan kata-kata David Teo tersebut, mungkin kita merasakan tiada masalahnya dengan kata-kata yang diucapkannya itu. Namun begitu, dari segi bahasa, terdapat kesalahan yang telah dilakukan oleh beliau. Kesalahan tersebut terdapat pada perkataan mempersembahan. Perkataan tersebut sebenarnya salah sama sekali. Hal ini adalah kerana, David Teo telah menggunakan imbuhan apitan yang salah iaitu memper-...-an. Dalam Bahasa Melayu, imbuhan ini tidak wujud. Imbuhan sebetulnya yang patut digunakan oleh beliau ialah imbuhan apitan memper-...-kan iaitu mempersembahkan. Namun begitu, kesalahan ini mungkin tidak disengajakan oleh beliau kerana sebagaimana kita sedia maklum, beliau berketurunan Cina. Oleh sebab itu, kesalahan yang dilakukan beliau mungkin disebabkan tersasul atau bahasanya agak pelat kerana sudah biasa berbahasa Cina. Namun begitu, kita seharusnya berbangga kerana kaum Cina di negara kita mampu menguasai bahasa Melayu dengan agak baik terutamanya ketika berkomunikasi dengan kaum lain selain sesama mereka.

Tuesday, January 25, 2011

MAKAN KE MINUM????????

SITUASI:

Hari Selasa merupakan hari yang amat memenatkan bagi saya. Hal ini kerana, hari ini kelas agak padat iaitu dari pukul 8 pagi hingga pukul 7 malam. Petang tadi, pensyarah membenarkan kami keluar agak lewat daripada biasa iaitu pada pukul 6 45 petang. Biasanya kami dilepaskan agak awal iaitu pada pukul 6 petang. Hendak dijadikan cerita, ketika saya pulang ke rumah, saya melihat rakan serumah berkumpul di meja makan untuk makan malam. Sebelum mandi, saya sempat tumpang sekaki berbual bersama-sama dengan mereka.
Ketika kami sedang asyik berbual, datang salah seorang daripada rakan serumahku sambil mengetuk-ngetuk sudu di tangannya. Kami agak hairan dengan perbuatannya itu. Pada masa itu, berlakulah perbualan antara kami :

Aku: Iha, hang nak buat apa ngan sudu tue?
(Fariha berasal daripada Kedah)
Fariha: Aku lapaq la. Aku nak makan ayaq.
Aku: Haa makan ayaq????
(Nada yang agak hairan)
Fariha: Yelah. Kat Kedah kalau dahaga kitorang cakap lapar.
Aku: Owh yeke. Maaf la tak tau.



ULASAN:
Berdasarkan situasi di atas, dapat disimpulkan bahawa bahasa itu adalah bervariasi. Maksudnya, bahasa itu adalah pelbagai dan cabangnya adalah sangat luas. Sebagaimana di atas, penduduk Kedah menggunakan perkataan ‘makan ayaq’ (makan air) bagi menyatakan mereka dahagakan air ataupun ingin meminum air. Hal ini bermakna, bahasa itu adalah pelbagai sekiranya digunakan mengikut daerah yang tertentu. Tetapi maksud yang hendak disampaikan adalah sama walaupun perkataan yang digunakan berbeza. Contohnya makan air sama maksudnya dengan dahaga air. Cuma yang membezakannya ialah perkataan makan, yang secara umumnya digunakan ketika hendak memamah atau menelan makanan. Manakala apabila ingin meneguk atau menelan air, umumnya kita akan menggunakan perkataan minum. Namun begitu, orang-orang Kedah menggunakan perkataan makan sama ada untuk makan ataupun minum. Oleh sebab itu, kita seharusnya berbangga kerana Bahasa Melayu bersifat bervariasi. Setiap negeri di Malaysia ada dialeknya tersendiri. Oleh itu, berbanggalah dengan sifat yang ada pada bahasa kita.

Monday, January 24, 2011

KELIRU...

SITUASI :
Hari ini semua pelajar kursus Ketrampilan Penulis diwajibkan menghadiri seminar yang diadakan di Bilik Seminar Perpustakaan Tuanku Bainun pada pukul 2 petang. Seminar tersebut membicarakan isu semasa iaitu mengenai novel Interlok karya Abdullah Hussain. Seminar ini tamat pada pukul 4 30 petang. Sebelum pulang ke kolej, saya dan rakan-rakan ingin membeli sesuatu di kedai komputer BHL di Taman Universiti. Ketika ingin melintas jalan di hadapan Pintu Timur kampus, berlaku perbualan antara saya dan rakan-rakan baik saya.

Saya: Sarah, Thirah, jom la lintas jalan.
Maisarah: Ramainya kereta. Macam mana nak lintas ni???
Athirah: Sabar la Ziha, Sarah jangan lintas lagi. Kan tak pasal-pasal kena langgar.

PENDAPAT:
Berdasarkan situasi yang berlaku antara saya dan rakan-rakan saya, didapati salah seorang daripada rakan saya telah menggunakan bahasa yang salah ketika bertutur.  Perkataan yang salah itu ialah, menggunakan kata ‘ramai’ bagi menunjukkan jumlah kereta pada masa itu. Perkataan ramai sesuai digunakan untuk menentukan jumlah manusia manakala bagi benda lain selain manusia perlu menggunakan perkataan ‘banyak’. Kesalahan tersebut mungkin tidak disengajakan oleh rakan saya. Kesalahan ini biasanya jarang berlaku terutamanya dalam kalangan orang dewasa. Kesalahan ini biasanya berlaku pada kanak-kanak yang masih keliru dengan penggunaan perkataan ‘ramai’ dan ‘banyak’. Saya berpendapat bahawa rakan saya tersebut hanya tersasul apabila bercakap dan bukannya kesalahan yang disengajakan.

Friday, January 21, 2011


SITUASI 5:
Situasi seterusnya ini berlaku di sebuah kedai makan. Hari ini saya dan rakan-rakan saya bercadang untuk makan malam di sebuah kedai makan berhampiran dengan kolej. Kami memilih meja di bahagian luar kedai kerana keadaan di dalam kedai agak panas ketika itu. Di sebelah meja kami terdapat sekumpulan pelajar lelaki. Sedang kami menjamu selera, datang salah seorang daripada rakan kumpulan lelaki tersebut. Saya memasang telinga mendengar perbualan mereka. Antara perbualan yang sempat didengari oleh saya ialah:

Lelaki X: Sorry semua terlewat. Aku tertidur tadi lepas magrib. Ngantuk sangat.
Lelaki Y(salah seorang daripada kumpulan lelaki tersebut) : Mana mamat sekor lagi?
Lelaki X: Dia tak jadi datang. Katanya ada discusion group.

ULASAN:
Berdasarkan situasi di atas, saya dapati dua kesalahan bahasa yang telah dilakukan. Salah satu daripadanya ialah menggunakan bahasa rojak atau bahasa campuran anatara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Antara kesalahan yang dimaksudkan ialah sorry dan discusion group. Sepatutnya Lelaki X menggantikan perkataan tersebut dengan perkataan Melayu iaitu maaf dan juga perbincangan dalam kumpulan. Kesalahan ini biasa berlaku kerana kita sudah terbiasa menggunakan bahasa tersebut terutamanya dalam kalangan pelajar.
            Manakala kesalahan bahasa kedua yang dikesan oleh saya ialah menggunakan perkataan sekor bagi menggambarkan manusia. Seekor atau sekor (ringkasan yang biasa digunakan masyarakat sekarang) adalah gambaran bagi membicarakan binatang dan tidak sesuai digunakan kepada manusia. Oleh sebab itu, perkataan sekor perlu digantikan dengan perkataan seorang. Tambahan lagi, perkataan sekor dianggap biadap serta menjatuhkan maruah seseorang sekiranya digunakan kepada manusia. Oleh sebab itu, kita harus berhati-hati apabila berkata-kata kerana kata-kata yang digunakan kita mungkin boleh menyinggung perasaan orang lain. Manakala dalam konteks bahasa pula, perkataan tersebut ternyata menyimpang daripada etika penggunaan bahasa dalam Bahasa Melayu.

Thursday, January 20, 2011





SITUASI 4:
Situasi ini berlaku di rumah rakan saya. Ketika itu saya datang ke rumahnya untuk meminjam kasut sukannya. Rakan saya mengeluarkan kasut itu daripada almari dan seterusnya menghulurkan kepada saya untuk dicuba. Antara dialog yang digunakan rakan saya ialah:
Amirah: Ziha, cuba try test kasut tu dulu. Kan tak muat ngan kaki kau.

ULASAN:
Walaupun dialog yang digunakan oleh rakan saya itu biasa digunakan, tetapi sebenarnya bahasa yang digunakan oleh rakan saya itu adalah salah. Kesalahan yang dikesan ialah, “cuba try test”. Hakikatnya, ketiga-tiga perkataan ini membawa maksud yang sama iaitu mengajak atau menyuruh. Kesalahan bahasa yang dilakukan rakan saya ialah dia menggunakan perkataan yang membawa maksud yang sama pada satu masa. Tambahan lagi, dia juga telah menggunakan bahasa rojak iaitu mencampuradukkan bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris iaitu:
            Bahasa Melayu=Cuba
            Bahasa Inggeris= try dan test

            Daripada situasi di atas, terdapat dua kesalahan yang telah dilakukan oleh rakan saya. Sepatutnya dialog yang sebetulnya dituturkan oleh rakan saya ialah:
            Amirah: Ziha, cuba  kasut tu dulu. Kan tak muat ngan kaki kau.

Wednesday, January 19, 2011


SITUASI 3:
Situasi ini berlaku di dalam kelas ketika seorang daripada rakan sekelas saya mengadakan perbentangan tugasannya. Ketika melakukan perbentangan tersebut, dia telah melakukan satu kesalahan bahasa tanpa dia sedari. Namun begitu, saya dan rakan sekelas yang lain menyedarinya. Kesalahan bahasa yang dikesan ialah, dia menggunakan penjodoh bilangan yang salah iaitu sepucuk kotak.

ULASAN :
Kesalahan yang dilakukan oleh rakan sekelas  saya itu merupakan kesalahan kecil namun begitu ia boleh mendatangkan kesan yang besar pada kemudian hari. Tambahan lagi, dia bakal menjadi guru Bahasa Melayu. Sepatutnya dia tidak membuat kesalahan kecil sebegitu. Penjodoh bilangan yang betul bagi kotak ialah sebuah kotak. Kesalahan yang dilakukan oleh rakan saya tersebut mungkin akan mengelirukan pelajar yang bakal dididiknya. Sebagai seorang guru bahasa, dia sepatutnya peka dengan keadaan ini. Dia seharusnya sudah mahir menggunakan penjodoh bilangan kerana sebelum ini kami telah mengikuti kursus Morfologi dan juga Sintaksis. Namun begitu, mungkin kesalahan yang dilakukan olehnya ini bukan disengajakan. Hal ini kerana, mungkin rakan saya itu sangat gementar apabila berada di hadapan khalayak ramai. Oleh sebab itu dia telah melakukan kesalahan kecil yang tidak seharusnya dia lakukan. Namun demikian, kesalahan ini masih belum terlambat untuk dibaiki. Hal ini kerana kita sepatutnya menegur kesalahan tersebut dengan segera supaya dia menyedarinya sebagaimana yang telah dilakukan oleh pensyarah kami ketika itu.


Tuesday, January 18, 2011


SITUASI 2:
Situasi berikutnya berlaku di dalam sebuah bank. Ketika itu adalah waktu puncak, iaitu pada pukul 12 30 tengah hari. Pada masa itu, keadaan di dalam bank sangat sesak dengan orang ramai. Tambahan lagi kerani yang ada di kaunter hanyalah tiga orang kerana yang selebihnya keluar rehat tengah hari. Ketika saya sedang berurusan di kaunter 2, saya terdengar suara seorang kerani memarahi seorang pak cik tua di kaunter bersebelahan. Sebabnya, pak cik tersebut terlepas nombor gilirannya. Antara petikan kata-kata kerani tersebut ialah:
“Pak cik cuba tengok nombor. Sekarang nombor berapa? Lain kali mata tu jangan lari daripada skrin, lihat jer kat skrin nombor tu”.

ULASAN:
Ayat “Lain kali mata tu jangan lari daripada skrin, lihat jer kat skrin nombor tu”, yang digunakan oleh kerani bank tersebut merupakan ayat yang berbentuk sindiran. Kerani bank itu tidak seharusnya menggunakan ayat sindiran tersebut tambahan lagi kepada orang yang lebih tua daripadanya. Sepatutnya kerani tersebut menggunakan ayat yang lebih lembut untuk menegur pelanggannya dan bukannya dengan nada sindiran. Tambahan lagi kerani bank tersebut berbangsa Melayu, sepatutnya beliau mempunyai adab dan tatasusila dalam pengucapan dan menjaga kata-kata yang diucapkannya. Hal ini kerana, orang Melayu sememangnya kaya dengan adab dan tatasusila terutamanya dalam berbahasa.

Monday, January 17, 2011

Permulaan Diari


SITUASI :
Situasi ini berlaku ketika saya ingin membuat bayaran setelah membeli barang di sebuah pasar raya di pekan Tanjong Malim. Ketika sampai giliran saya untuk membuat bayaran, tiba-tiba seorang lelaki India datang dan menghempas barang yang dibelinya di meja bayaran. Dengan muka yang garang dan suara yang lantang, dia memaki hamun juruwang yang bertugas. Antara ayat yang digunakannya ialah :
 “tak guna punyer orang, korang sudah tipu sama aku. Aku nak duit aku balik. Cepat bagi !!".
ULASAN:
Pada pendapat saya, lelaki India tersebut tidak sewajarnya berkelakuan sedemikian kerana pada masa itu, terdapat ramai orang awam di dalam kedai tersebut. Perbuatannya yang memaki hamun dan mengeluarkan perkataan kesat kepada juruwang tersebut sangat teruk kerana dia bukan sahaja menjatuhkan maruah juruwang tersebut malahan turut merendahkan maruah dan martabat dirinya sendiri. Hal sedemikian kerana, dia melakukan perbuatan tersebut di hadapan anak-anaknya. Dia sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anaknya dengan mengeluarkan perkataan yang lebih sopan. Tambahan lagi, lelaki India itu boleh menggunakan cara yang lebih baik iaitu dengan melakukan rundingan dengan pengurus kedai dengan menggunakan bahasa yang lebih baik dan bersopan.