BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, February 28, 2011

DATUK DAN NENEK

SITUASI
Situasi berikutnya berlaku semasa saya sedang melayari internet. Ketika itu, saya sedang mencari maklumat untuk menyiapkan tugasan berkumpulan. Setelah beberapa lama mencari, akhirnya saya menjumpai satu laman web (http://www.slideshare.net/HaafizuddinZainudin/perkembangan-bahasa-melayu-moden)
 yang memaparkan slide hasil tugasan seseorang. Slide itu sedikit sebanyak mengandungi maklumat berkaitan dengan tugasan saya. Namun begitu, pada satu slide , terdapat satu perkataan yang janggal kita gunakan iaitu datuk moyang.


ULASAN:
Berdasarkan situasi di atas, perkataan datuk moyang sememangnya janggal digunakan. Kebiasaannya kita menggunkan perkataan nenek moyang bagi menggambarkan sesuatu benda yang berasal daripada keturunan kita dahulu kala. Kedua-dua perkataan tersebut sememangnya mempunyai makna yang sama tetapi kebanyakan daripada kita menggunakan perkataan nenek moyang dan jarang sekali menggunakan perkataan datuk moyang. Oleh itu, terpulang kepada individu masing-masing untuk menggunakan perkataan yang mana satu dan apa yang penting kita mengtahui maksud perkataan tersebut agar bersesuaian dengan ayat yang kita gunakan.

TERPENGARUH EJAAN INGGERIS



SITUASI:

Kisah saya hari ini berkenaan dengan sepucuk surat. Hari ini saya ingin menulis surat penghargaan kepada Pusat Latihan OKU Kraf kerana memberi kerjasama kepada kami untuk menjalankan penyelidikan di sana bagi kursus Kesusasteraan Melayu Dalam Pembinaan Modal Insan. Encik Rosli, iaitu pengurus Pusat Latihan OKU Kraf memberikan kami contoh surat penghargaan yang dihasilkan oleh pelajar UKM. Namun begitu, apabila diteliti surat yang dihasilkan pelajar UKM tersebut, terdapat kesalahan ejaan pada surat tersebut.


ULASAN:
Berdasarkan gambar di atas, kesalahan ejaan tersebut terdapat pada perkataan kraft. Hakikatnya, ejaan betul bagi perkataan kraft ialah kraf. Kesalahan tersebut berlaku disebabkan terpengaruh dengan bahasa Inggeris. Hal sedemikian kerana, ejaan kraf dalam bahasa Inggeris ialah Craft, oleh sebab itu, pelajar UKM tersebut mengeja perkataan kraf menjadi kraf (menambah huruf t di belakang sebagaimana ejaan dalam bahasa Inggeris). Pada pendapat saya, kesalahan ini tidak seharusnya berlaku kerana surat yang dihasilkan oleh mereka merupakan surat rasmi yang mana terdapat format tertentu dan perlu dihasilkan dengan terperinci. Oleh sebab itu, sebagai peringatan, kita seharusnya memeriksa terlebih dahulu ejaan yang dirasakan keliru sebelum menulis surat atau melakukan sebarang aktiviti terutamanya bagi urusan rasmi.

Tuesday, February 22, 2011

DAHULU DAN KINI

SITUASI

Di sini bermulanya sebuah kisah:

Ketika saya sedang asyik mengemas kotak buku simpanan saya dari semester satu hingga lima, saya terpadang satu cakera padat (CD) yang terselit dalam buku Morfologi saya. Pada bahagian atas cakera padat itu ditulis ‘koleksi gambar’. Saya pun dah lupa bila masanya saya menyimpan cakera padat tersebut dan apa kandungan di dalamnya. Lantas saya bergegas ke meja dan membuka laptop saya untuk menyiasat kandungan cakera padat tersebut. Manalah tau berguna untuk tugasan saya. Apabila saya membukanya dalam laptop rupa-rupanya cakera padat itu mengandungi gambar-gambar. Namun begitu yang menarik perhatian saya ialah ada sesetengah daripada gambar tersebut melucukan kerana ejaan yang digunakan adalah salah. Contohnya gambar di bawah:

ULASAN:
Berdasarkan gambar di atas, saya dapati masih banyak lagi kesalahan berikut berlaku di luar sana. Seperti di atas, perkara surah disalah eja menjadi surat (membawa makna yang berbeza daripada makna asal). Banyak kesalahan ejaan dilakukan terutamanya pada papan tanda, nama-nama premis dan sebagainya. Namun begitu, terdapat juga ejaan tersebut yang masih diguna pakai terutamanya nama bagi sesuatu tempat. Sebagai contoh Yan Kechil, Kota Bharu, Pasir Puteh dan lain-lain lagi. Contoh-contoh lain adalah seperti berikut:
Bharu=baru
Puteh=putih
Kampong=Kampung
Kechil=Kecil
Orang2=Orang-orang

Orang-orang tua seperti datuk dan nenek kita masih lagi menggunkan ejaan di atas. Namun begitu, kita generasi zaman sekarang menerima pendidikan yang terbaru seharusnya tidak melakukan kesalahan ini. Sayangilah bahasa kita.

KUIH-MUIH

SITUASI:
Cerita kali ini berlaku semasa saya dan rakan-rakan mengadakan perbincangan dalam kumpulan untuk kelas EDU. Pensyarah kami iaitu Dr. Idris Mohd Radzi menyuruh kami memperbetulkan kesalahan yang kami lakukan semasa merangka Rancangan Pengajaran Harian. Kami hanya mengambil masa sekejap sahaja untuk memperbetulkan kesalahan tersebut kerana hampir keseluruhan Rancangan Pengajaran Harian yang kami hasilkan adalah betul. Oleh itu, kami berbual-bual kosong sementara menunggu rakan-rakan dari kumpulan lain memperbetulkan tugasan mereka.
Ketika itu kami berbual-bual mengenai kuih-muih (kebetulan kami belum makan dan berasa lapar). Saya dan rakan saya yang juga berasal daripada Kelantan menyebut sejenis kuih iaitu ‘Kuih Kato’. Namun begitu, kawan saya dari Terengganu dan Selangor tidak mengetahui tentang kuih tersebut. Oleh itu saya dan rakan saya yang berasal daripada Kelantan memberi gambaran mengenai kuih tersebut kepada mereka. Akhirnya kawan saya daripada Terengganu mengetahui kuih tersebut tetapi dia mengenalinya sebagai ‘Kuih Kapur’ dan bukannya ‘Kuih Kato’. Sementara kawan saya daripada Selangor tidak dapat mengenalpasti kuih yang dimaksudkan kami semua.



ULASAN:
Berdasarkan situasi di atas, saya dapati Bahasa Melayu sebenarnya luas dan sebutannya pula berbeza mengikut daerah atau negeri. Contohnya di Kelantan kami menyebut kuih tersebut sebagai ‘Kuih Kato’ manakala di sebelah negeri Terengganu memanggilnya ‘Kuih Kapur’. Sebenarnya apa yang ingin disampaikan oleh kami adalah benda yang sama, tetapi disebabkan perbezaan negeri maka kami semua keliru dengan nama lain bagi kuih tersebut. Sementara kawan saya daripada Selangor tidak dapat mengetahui terus mengenai kuih tersebut walaupun telah diberi gambaran dengan terperinci oleh kami semua. Hal sedemikian kerana, mungkin di Selangor tidak terdapat kuih ini kerana kuih ini berasal daripada negeri di Pantai Timur terutamnya Kelantan dan Terengganu. Berdasarkan situasi ini, saya dapat rumuskan bahawa kita perlu bercakap dan menggunakan bahasa baku agar tidak berlaku perbezaan sebutan dan kekeliruan terhadap benda yang hendak disampaikan.

Monday, February 21, 2011

KALIAN KENA GORENG

SITUASI
 Situasi kali ini berlaku di sebuah kedai makan berhampiran dengan kolej. Saya bersama-sama rakan ke kedai masakan Tomyam untuk membeli makanan. Ketika sedang melihat menu yang diberikan kepada kami, saya dan kawan-kawan tergelak melihat ejaan yang digunakan. Di bawah merupakan ejaan yang terdapat dalam menu tersebut.


ULASAN:
Berdasarkan gambar di atas, saya dapati terdapat beberapa kesalahan iaitu:
  •  Kalian Ikan Masin
  •  Kalian Belacan
  • Kangkong Ikan Masin
  • Kalian Goreng
  • Kangkong Goreng 

Kesalahan yang dilakukan agak serius kerana telah membawa maksud yang lain daripada yang hendak disampaikan. Sebagai contoh perkataan kailan yang disalah eja menjadi kalian. Kailan bermaksud sejenis tumbuhan yang dibuat sayur manakala kalian pula merupakan kata ganti nama diri ketiga. Jadi maksudnya telah berubah daripada sejenis sayur kepada kata ganti nama diri ketiga. Manakala bagi perkataan kangkong, ejaan sebenarnya ialah kangkung.

Adakah kesalahan ini berlaku disebabkan pengusaha restoran tersebut berasal daripada Thailand? Hal sedemikian tidak sepatutnya menjadi penyebab kerana mereka seharusnya merujuk ejaan tersebut dengan rakyat tempatan sekiranya mengalami kekeliruan. Hal ini sangat penting kerana bahasa kita adalah budaya kita. Oleh itu, mereka seharusnya menghormati bahasa kita sebagaimana mereka menghormati bahasa mereka sendiri. Tambahan lagi, sebahagian besar pelanggannya terdiri daripada rakyat tempatan.

Friday, February 18, 2011

KERANA HARI NAK HUJAN

SITUASI:
Hari ini saya dan rakan-rakan saya ke pasar malam Tanjong Malim. Kami berborak-borak kosong  sepanjang perjalanan kami ke pekan Tanjong Malim. Namun begitu, ayat yang digunakan oleh rakan-rakan saya telah menarik minat saya untuk dikongsi dalam ruangan ini. Antara perbualan tersebut:

X         : Panasnya cuaca hari. Mungkin nak hujan kot.
Y         :  Sib baik aku bawak payung. Alah cam mak aku kata la sediakan payung sebelum    hujan..haha

Di bawah pula merupakan dialog yang digunakan kami setelah tiba di Pasar Malam.

Saya    : Ish ramainya orang. Nak jalan pun xleh.
X         : Ish tak berkenan la tengok makanan. Borim la asyik makanan sama jer. Kalau pasar malam kat tempat aku, pergilah hari-hari pun tak jemu langsung.
Y         : A’ah lah tau tak pe. Orang kata apa, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri,   
             lebih baik negeri sendiri kan.

(Kami semua tergelak kerana tidak sangka begitu banyak peribahasa yang kami gunakan pada hari ini).

ULASAN
Peribahasa merupakan salah keunikan dan keistimewaan masyarakat Melayu. Peribahasa juga menggambarkan perwatakan masyarakat Melayu yang bersopan santun. Hal sedemikian kerana, mereka menggunakan peribahasa bagi menggambarkan sesuatu atau bertujuan untuk menyindir dengan cara yang lembut. Walaupun peribahasa yang digunakan oleh kawan saya tidak sesuai dengan ayat yang digunakan namun maksud yang hendak disampaikan itu jelas dan sesuai dengan perkara yang digambarkan. Kita seharusnya memelihara keunikan bahasa kita agar ia tidak luput ditelan zaman. Hal ini kerana, pada zaman sekarang generasi muda tidak memahami maksud sesuatu peribahasa bahkan tidak pernah mendengar sesetengah peribahasa yang jarang digunakan. Seharusnya mereka perlu mempraktikkan peribahasa tersebut dalam perbualan harian mereka agar perkara tersebut menjadi suatu kebiasaan.

Thursday, February 17, 2011

KERANA KAK LIMAH





SITUASI:

Situasi yang berlaku ini berlaku di merata tempat. Contohnya, di dalam lif, di dalam kelas, di dalam bas, semasa beratur untuk membayar makanan, semasa mengadakan perbincangan kumpulan di bawah foyer blok kolej dan sebagainya. Boleh dikatakan sekarang pelajar-pelajar UPSI mengalami sindrom 'Hantu Kak Limah Balik Rumah'. Hal yang sedemikian kerana, di tempat-tempat yang saya nyatakan, sering kali saya mendengar dialog yang diucapkan oleh pelakon dalam filem tersebut. Antara perkataan yang terdapat dalam filem tersebut yang sering dituturkan oleh pelajar UPSI ialah:


  • Bako aje!!
  • Cecite-cecite
  • Plawok

ULASAN:

Berdasarkan situasi tersebut, saya mendapati pengaruh media terutamanya filem begitu mempengaruhi masyarakat kita terutamanya kanak-kanak dan remaja. Pada pendapat saya, budaya ini banyak mendatangkan keburukan kepada masyarakat yang terpengaruh dengannya. Hal yang sedemikian kerana, penutur yang menggunakan perkataan di atas asyik menyebutnya tanpa mengira situasi sama ada semasa belajar di dalam kelas, semasa mengadakan perbincangan dan sebagainya. Kadang-kadang mereka terbawa-bawa menggunakan perkataan tersebut semasa berkomunikasi dengan pensyarah. Budaya sebegini tidak elok diamalkan kerana ia boleh merosakkan bahasa dan jiwa masyarakat. Buktinya, apabila mereka menuturkan perkataan ini semasa belajar di dalam kelas, mereka seperti tidak serius dan main-main semasa belajar. Kesannya mungkin akan menjejaskan pelajaran mereka.