BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, March 10, 2011

KESILAPAN YANG BERULANG

SITUASI
Situasi ini berlaku semasa saya sedang mengikuti kursus perkahwinan di Baitul Zahra Tanjong Malim. Ketika itu, Ustaz sedang mengajar akidah kepada peserta yng menyetai kursus tersebut. Ustaz tersebut memaparkan slide dalam bentuk power point untuk memudahkan pemahaman kami. Pada satu slide tersebut, terdapat kesalahan bahasa yang dapat dikesan oleh saya. Kesalahan tersebut ialah, penggunaan kata ganti diri ianya.




ULASAN
Dalam Bahasa Melayu, perkataan ianya tidak wujud sama sekali dan sekiranya kita menggunakannya dalam ayat, maka ayat tersebut menjadi tidak gramatis kerana terdapat kesalahan bahasa. Perkataan ianya timbul hasil daripada gabungan kata ganti nama diri ia dan juga nya. Sekiranya kita menggabungkan perkataan ia dan nya menjadi ianya, maka perkataan tersebut membawa maksud yang lewah iaitu berlebih-lebihan kerana menggunakan kata yang membawa maksud yang sama bersama. Ia merupakan singkatan bagi kata ganti nama diri orang ketiga, begitu juga dengan nya. Oleh sebab itu, kedua-dua perkataan ini tidak boleh digunakan bersama-sama.

IKLAN

 SITUASI

Situasi berikutnya ini berlaku ketika saya sedang makan. Ketika itu saya menjadikan surat khabar sebagai alas pinggan saya. Sedang saya asyik menyuap makanan, tiba-tiba saya terpandang pada satu ruangan kecil yang terdapat pada surat khabar tersebut. Saya tertarik melihat iklan yang diketakkan di sudut tepi surat khabar tersebut. Iklan tersebut berkaitan dengan jual beli kereta. Di bawah merupakan iklan tersebut:



           

ULASAN:
Berdasarkan iklan tersebut, saya tertarik dengan ayat yang digunakannya untuk menarik perhatian pembeli iaitu “Harga Boleh Berunding lagi”. Sekiranya diperhatikan betul-betul ayat ini, saya dapati perkataan berunding tidak sesuai digunakan dalam ayat tersebut. Secara tersuratnya, ayat tersebut bermaksud harga tersebut yang berunding dan bukannya pembeli. Sebaliknya maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh pengiklan tersebut ialah pembeli boleh membuat rundingan mengenai harga kereta tersebut. Pada pendapat saya, pengiklan seharusnya menukarkan perkataan berunding kepada dirunding supaya ayat tersebut lebih gramatis dan betul.
ü  “Harga Boleh Dirunding Lagi”  
û  “Harga Boleh Dirunding Lagi”

Saturday, March 5, 2011

Ragam juruhebah

SITUASI:
Situasi berikutnya berlaku semasa saya sedang membeli makanan. Ketika ini merupakan hari terbuka Kolej Harun Aminurrashid. Oleh itu, terdapat juruhebah yang terdiri daripada penghuni kolej ini untuk memeriahkan suasana karnival. Ketika sedang menunggu giliran saya untuk membayar makanan yang dibeli, tiba-tiba saya terdengar juruhebah tersebut membuat satu kesalahan ketika sedang bercakap. Antara petikan ucapan yang dituturkan oleh juruhebah tersebut ialah:
Juruhebah 1:   Orang ramai diminta datang ke KHAR bagi memeriahkan lagi karnival pada hari ini.
Juruhebah 2: Yer anda pasti tidak rugi datang ke sini. Kami ada pelbagai aktiviti dan juga konsert. Agaknya artis apa datang malam ni yer.?

ULASAN:
Berdasarkan situasi di atas, juruhebah tersebut telah melakukan kesalahan dari segi penggunanaan kata tanya. Kata tanya ‘apa’ digunakan bagi menanyakan nama benda atau binatang. Manakala bagi manusia, kata tanya yang sesuai ialah ‘siapa’. Oleh itu, juruhebah tersebut perlu berhati-hati ketika bertutur kerana percakapannya itu bukan sahaja didengar oleh penghuni kolej, tetapi juga didengar oleh masyarakat di luar sana. Oleh sebab itu, mereka perlu merujuk perkara ini dengan orang yang lebih pakar dahulu sebelum bertutur agar kesalahan tersebut dapat dibaiki dan dielakkan.

KUALA KUBU ROAD


SITUASI:
Situasi entah ke berapa ini berlaku ketika saya berkunjung ke rumah sepupu kepada kawan saya di Batang Kali. Perjalanan ke Batang Kali mengambil masa lebih kurang 45 minit. Sebelum sampai ke Batang Kali, kami mesti melalui Kuala Kubu Bharu. Hendak dijadikan cerita, ketika saya sedang asyik melihat sekeliling melalui tingkap kereta, saya terpandang satu papan tanda yang ditulis dengan perkataan ‘KUALA KUBU ROAD’. Saya agak terkejut kerana setahu saya kawasan kampung itu adalah perkampungan Melayu. Perkara yang menjadi tanda tanya saya ialah, Kenapa mesti KUALA KUBU ROAD dan bukannya JALAN KUALA KUBU????
ULASAN:

Berdasarkan situasi di atas, saya dapati negara kita terlalu mengagungkan bahasa Inggeris. Buktinya, papan tanda di atas ditulis menggunakan bahasa Inggeris. Mungkin nama kampung tersebut Kuala Kubu Road dan mungkin juga tidak. Namun begitu, perkara yang paling penting bukanlah nama kampung tersebut tetapi perkataan yang digunakan. Kenapa tidak ditukar sahaja nama jalan tersebut kepada ‘Jalan Kuala Kubu’. Pihak berwajib seharusnya peka dengan keadaan ini kerana perkara sebegini boleh mengundang kemarahan terutamanya bagi pejuang-pejuang bahasa di negara kita. Sekiranya Kuala Kubu Road merupakan nama bagi kampung tersebut, nama itu seharusnya ditukar. Perkara ini bukan suatu yang mustahil kerana di Malaysia, sudah banyak nama tempat ditukar mengikut ksesuaian. Contohnya Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kota Bharu. Pada asalnya nama tempat ini ialah Pantai Cinta Berahi (PCB), tetapi disebabkan orang luar tersalah anggap dengan nama ini, maka Menteri Besar Kelantan telah menukarkan nama tempat tersebut menjadi Pantai Cahaya Bulan (PCB). Kita perlu mengambil serius hal ini kerana bahasa kita adalah budaya kita. Jangan biarkan keaslian bahasa kita tercemar dengan benda-benda sebegini.

Friday, March 4, 2011

BAHASA CAMPURAN

SITUASI:


Hari ini saya berjalan-jalan melihat karnival dan pesta buku di KHAR. Ketika sedang asyik melihat barangan yang dijual, bahu saya ditepuk oleh seseorang. Rupa-rupanya apabila saya berpaling, saya melihat kawan saya tersengeh sambil mengangkat tangan. Oleh itu, berlakulah perbualan antara saya dan dia.


Saya: Eh, Syiken mari mano lagi?
Syiken: Mari merendak la ngan kawan aku.
Saya: Habis tu, mane kawan mu tuh?
Syiken: Dia g tengok tudung.
Saya: Owh...Patut pun.

ULASAN:


Berdasarkan perbualan antara saya dan rakan saya itu, saya tertarik kepada perkataan merendak yang digunakan oleh rakan saya itu. Sekiranya dari segi Semantik, merendak membawa banyak maksud. Salah satu daripada maksudnya ialah berdua-duaan (asal daripada perkataan Tamil, iaitu rendak yang bermaksud dua). Kedua, merendak bermaksud melihat-lihat sesuatu benda. Berdasarkan perbualan saya dan rakan saya itu, merendak yang dimaksudkan rakan saya ialah berjalan-jalan sambil melihat barangan yang ada. Merendak merupakan bahasa yang dipertuturkan oleh remaja masa kini dan bukannya tergolong dalam perkataan standart bahasa Melayu. Hal ini menunjukkan bahasa Melayu mudah menerima pengubahsuaian mengikut keadaan. Oleh sebab itu, kita seharusnya memelihara bahasa kita sebaik mungkin agar bahasa kita tidak mengalami perubahan yang boleh merosakkan keasliannya.

Thursday, March 3, 2011

SIAPA PUNYA KERJA??

SITUASI:

Hari ini saya menelefon emak saya yang datang ke Kuala Lumpur untuk konvokesyen sepupu saya. Ketika sedang bercakap dengan emak saya, tiba-tiba sepupu saya mahu bercakap dengan saya. Semasa berbual dengannya, dia bertanyakan beberapa soalan kepada saya:

Sepupu: Bakpo mu dop mai KL nyo??
Saya:  Aku ado kelas sapa pukol 7 la.
Sepupu: owh..Pahtu mu dok wat gapo loni?
Saya: Aku tengah mikir isemen ni weh.
Sepupu: Isemen gapo lagi nyo.
Saya: Nih pasal ejaan saloh. Aku keno wat diari hari-hari la.
Sepupu: Haa aku nok tunjuk bendo ko mu. Nanti aku MMS ko mu.

Tet..tet..MMS pun sampai.


Rupa-rupanya sepupu saya menghantar satu iklan yang ditampal berhampiran dengan lif rumahnya. Saya masih ingat akan  iklan ini. Pada awal tahun ini, saya ke rumahnya di KL dan pernah ternampak iklan ini. Pada masa itu saya tidak ambil peduli iklan tersebut. Rupa-rupanya iklan itu maish ada sehingga kini. Mungkin iklan tersebut ditampal di tempat yang tinggi, oleh sebab itu orang tidak boleh mencabutnya dan masih ada sehingga sekrang.

ULASAN
Berdasarkan gambar di atas, didapati terdapat begitu banyak kesalahan ejaan yang dilakukan. Antaranya perkataan tersebut ialah:

keselamat=keselamatan
berkeja=bekerja
semingu =seminggu
keterajang=keterangan

 Kesalahan yang dilakukan ini adalah sungguh serius dan memalukan. Mungkin iklan ini ditulis oleh warga asing atau mungkin juga warga Malaysia. Kesalahan ejaan boleh membawa kesan yang serius kepada pembacanya. Antara kesannya ialah masyarakat akan menjadi keliru sama ada iklan tersebut adalah betul-betul atau hanya sekadar main-main. Selain daripada mengurangkan keyakinan orang ramai terhadap iklan tersebut, kesalahan ejaan yang dilakukan juga menyebabkan makna hasil daripada ejaan tersebut berbeza dengan makna asal perkataan itu. Sebagai contoh, penulis ingin menulis untuk keterangan lanjut tetapi ditulis untuk keterajang. Terajang berbeza sama sekali maksudnya dengan terang. Oleh sebab itu, kita sebagai masyarakat Malaysia seharusnya peka dengan masalah ini kerana ia bukan sahaja mencemarkan bahasa Melayu tetapi turut merendah-rendah maruah bangsa kita.

Tuesday, March 1, 2011

Bahasa Melayu Tinggi



SITUASI:
Bangun sahaja tidur saya terus onkan laptop dan connect upsijaring. Tujuannya hanyalah satu iaitu memeriksa akaun facebook kalau-kalau ada komen daripada rakan-rakan. Salah satu daripada notifications akaun facebook saya adalah daripada pensyarah saya yang tidak asing lagi dengan facebooknya iaitu Prof. Abdullah Hassan. Prof mengepos pesanannya pada ruangan kumpulan kami. Saya agak tersentak (kerana terlalu kagum) melihat bahasa yang digunakan oleh Prof. Antara
“Buku Dokumentasi Lama baru sedang dizeroks dan apabila siap ketua kumpulan akan dipanggil mengambilnya”.

ULASAN:

Secara jujurnya, pertama kali saya mendengar perkataan zeroks. Pada awalnya saya menyangka prof tersilap taip ataupun mungkin perkataan daripada bahasa Inggeris tetapi di Melayukan. Namun begitu, apabila saya memikirnya balik, saya membuat rumusan bahawa tidak mungkin ahli bahasa seperti prof tersilap taip (beliau sangat berhati-hati apabila melibatkan ejaan atau perkataan). Oleh sebab itu, untuk merungkaikan masalah ini saya merujuk teman yang paling rapat dengan saya iaitu ‘kamus’ sebagai rujukan. Apabila saya merujuk kamus digital saya, baru saya tahu makna zeroks yang digunakan Prof. Rupanya makna zeroks ialah fotokopi ataupun bahasa popular yang digunakan anak-anak muda sekarang iaitu photostat (diambil daripada bahasa Inggeris). Mungkin zeroks merupakan bahasa Melayu tinggi yang biasa digunakan oleh Prof Abdullah. Kita sebagai orang Melayu seharusnya mengikut jejak prof yang sedaya upaya memperjuangkan bahasa Melayu agar tidak ditelan zaman. Oleh sebab itu, kita perlu mengamalkan bahasa Melayu kerana pada masa sekarang bahasa Inggeris terlalu diagungkan. Sehingga ada sesetengah perkataan daripada bahasa Inggeris di Melayukan. Contohnya perkataan photostat yang telah menjadi kebiasaan disebut masyrakat sekarang sebenarnya berasal daripada bahasa Inggeris. Ikutlah contoh prof yang mengagungkan bahasa ibunda kita. Saya bangga dengan Prof!.