BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS �

Tuesday, February 22, 2011

KUIH-MUIH

SITUASI:
Cerita kali ini berlaku semasa saya dan rakan-rakan mengadakan perbincangan dalam kumpulan untuk kelas EDU. Pensyarah kami iaitu Dr. Idris Mohd Radzi menyuruh kami memperbetulkan kesalahan yang kami lakukan semasa merangka Rancangan Pengajaran Harian. Kami hanya mengambil masa sekejap sahaja untuk memperbetulkan kesalahan tersebut kerana hampir keseluruhan Rancangan Pengajaran Harian yang kami hasilkan adalah betul. Oleh itu, kami berbual-bual kosong sementara menunggu rakan-rakan dari kumpulan lain memperbetulkan tugasan mereka.
Ketika itu kami berbual-bual mengenai kuih-muih (kebetulan kami belum makan dan berasa lapar). Saya dan rakan saya yang juga berasal daripada Kelantan menyebut sejenis kuih iaitu ‘Kuih Kato’. Namun begitu, kawan saya dari Terengganu dan Selangor tidak mengetahui tentang kuih tersebut. Oleh itu saya dan rakan saya yang berasal daripada Kelantan memberi gambaran mengenai kuih tersebut kepada mereka. Akhirnya kawan saya daripada Terengganu mengetahui kuih tersebut tetapi dia mengenalinya sebagai ‘Kuih Kapur’ dan bukannya ‘Kuih Kato’. Sementara kawan saya daripada Selangor tidak dapat mengenalpasti kuih yang dimaksudkan kami semua.



ULASAN:
Berdasarkan situasi di atas, saya dapati Bahasa Melayu sebenarnya luas dan sebutannya pula berbeza mengikut daerah atau negeri. Contohnya di Kelantan kami menyebut kuih tersebut sebagai ‘Kuih Kato’ manakala di sebelah negeri Terengganu memanggilnya ‘Kuih Kapur’. Sebenarnya apa yang ingin disampaikan oleh kami adalah benda yang sama, tetapi disebabkan perbezaan negeri maka kami semua keliru dengan nama lain bagi kuih tersebut. Sementara kawan saya daripada Selangor tidak dapat mengetahui terus mengenai kuih tersebut walaupun telah diberi gambaran dengan terperinci oleh kami semua. Hal sedemikian kerana, mungkin di Selangor tidak terdapat kuih ini kerana kuih ini berasal daripada negeri di Pantai Timur terutamnya Kelantan dan Terengganu. Berdasarkan situasi ini, saya dapat rumuskan bahawa kita perlu bercakap dan menggunakan bahasa baku agar tidak berlaku perbezaan sebutan dan kekeliruan terhadap benda yang hendak disampaikan.

Monday, February 21, 2011

KALIAN KENA GORENG

SITUASI
 Situasi kali ini berlaku di sebuah kedai makan berhampiran dengan kolej. Saya bersama-sama rakan ke kedai masakan Tomyam untuk membeli makanan. Ketika sedang melihat menu yang diberikan kepada kami, saya dan kawan-kawan tergelak melihat ejaan yang digunakan. Di bawah merupakan ejaan yang terdapat dalam menu tersebut.


ULASAN:
Berdasarkan gambar di atas, saya dapati terdapat beberapa kesalahan iaitu:
  •  Kalian Ikan Masin
  •  Kalian Belacan
  • Kangkong Ikan Masin
  • Kalian Goreng
  • Kangkong Goreng 

Kesalahan yang dilakukan agak serius kerana telah membawa maksud yang lain daripada yang hendak disampaikan. Sebagai contoh perkataan kailan yang disalah eja menjadi kalian. Kailan bermaksud sejenis tumbuhan yang dibuat sayur manakala kalian pula merupakan kata ganti nama diri ketiga. Jadi maksudnya telah berubah daripada sejenis sayur kepada kata ganti nama diri ketiga. Manakala bagi perkataan kangkong, ejaan sebenarnya ialah kangkung.

Adakah kesalahan ini berlaku disebabkan pengusaha restoran tersebut berasal daripada Thailand? Hal sedemikian tidak sepatutnya menjadi penyebab kerana mereka seharusnya merujuk ejaan tersebut dengan rakyat tempatan sekiranya mengalami kekeliruan. Hal ini sangat penting kerana bahasa kita adalah budaya kita. Oleh itu, mereka seharusnya menghormati bahasa kita sebagaimana mereka menghormati bahasa mereka sendiri. Tambahan lagi, sebahagian besar pelanggannya terdiri daripada rakyat tempatan.

Friday, February 18, 2011

KERANA HARI NAK HUJAN

SITUASI:
Hari ini saya dan rakan-rakan saya ke pasar malam Tanjong Malim. Kami berborak-borak kosong  sepanjang perjalanan kami ke pekan Tanjong Malim. Namun begitu, ayat yang digunakan oleh rakan-rakan saya telah menarik minat saya untuk dikongsi dalam ruangan ini. Antara perbualan tersebut:

X         : Panasnya cuaca hari. Mungkin nak hujan kot.
Y         :  Sib baik aku bawak payung. Alah cam mak aku kata la sediakan payung sebelum    hujan..haha

Di bawah pula merupakan dialog yang digunakan kami setelah tiba di Pasar Malam.

Saya    : Ish ramainya orang. Nak jalan pun xleh.
X         : Ish tak berkenan la tengok makanan. Borim la asyik makanan sama jer. Kalau pasar malam kat tempat aku, pergilah hari-hari pun tak jemu langsung.
Y         : A’ah lah tau tak pe. Orang kata apa, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri,   
             lebih baik negeri sendiri kan.

(Kami semua tergelak kerana tidak sangka begitu banyak peribahasa yang kami gunakan pada hari ini).

ULASAN
Peribahasa merupakan salah keunikan dan keistimewaan masyarakat Melayu. Peribahasa juga menggambarkan perwatakan masyarakat Melayu yang bersopan santun. Hal sedemikian kerana, mereka menggunakan peribahasa bagi menggambarkan sesuatu atau bertujuan untuk menyindir dengan cara yang lembut. Walaupun peribahasa yang digunakan oleh kawan saya tidak sesuai dengan ayat yang digunakan namun maksud yang hendak disampaikan itu jelas dan sesuai dengan perkara yang digambarkan. Kita seharusnya memelihara keunikan bahasa kita agar ia tidak luput ditelan zaman. Hal ini kerana, pada zaman sekarang generasi muda tidak memahami maksud sesuatu peribahasa bahkan tidak pernah mendengar sesetengah peribahasa yang jarang digunakan. Seharusnya mereka perlu mempraktikkan peribahasa tersebut dalam perbualan harian mereka agar perkara tersebut menjadi suatu kebiasaan.

Thursday, February 17, 2011

KERANA KAK LIMAH





SITUASI:

Situasi yang berlaku ini berlaku di merata tempat. Contohnya, di dalam lif, di dalam kelas, di dalam bas, semasa beratur untuk membayar makanan, semasa mengadakan perbincangan kumpulan di bawah foyer blok kolej dan sebagainya. Boleh dikatakan sekarang pelajar-pelajar UPSI mengalami sindrom 'Hantu Kak Limah Balik Rumah'. Hal yang sedemikian kerana, di tempat-tempat yang saya nyatakan, sering kali saya mendengar dialog yang diucapkan oleh pelakon dalam filem tersebut. Antara perkataan yang terdapat dalam filem tersebut yang sering dituturkan oleh pelajar UPSI ialah:


  • Bako aje!!
  • Cecite-cecite
  • Plawok

ULASAN:

Berdasarkan situasi tersebut, saya mendapati pengaruh media terutamanya filem begitu mempengaruhi masyarakat kita terutamanya kanak-kanak dan remaja. Pada pendapat saya, budaya ini banyak mendatangkan keburukan kepada masyarakat yang terpengaruh dengannya. Hal yang sedemikian kerana, penutur yang menggunakan perkataan di atas asyik menyebutnya tanpa mengira situasi sama ada semasa belajar di dalam kelas, semasa mengadakan perbincangan dan sebagainya. Kadang-kadang mereka terbawa-bawa menggunakan perkataan tersebut semasa berkomunikasi dengan pensyarah. Budaya sebegini tidak elok diamalkan kerana ia boleh merosakkan bahasa dan jiwa masyarakat. Buktinya, apabila mereka menuturkan perkataan ini semasa belajar di dalam kelas, mereka seperti tidak serius dan main-main semasa belajar. Kesannya mungkin akan menjejaskan pelajaran mereka.

Wednesday, February 16, 2011

KENA MARAH!





SITUASI:

Hari ini saya ke bilik salah seorang pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi untuk bertanya tentang tugasan yang diberikan oleh beliau. Pada masa itu, pensyarah tersebut bertanya tentang perkembangan tugasan yang telah dihasilkan oleh saya. Di bawah adalah jawapan yang saya berikan kepada beliau.

Saya: Emmm...buat masa ni saya rasa dah separuh siap kot. Mungkin minggu depan siaplah kot.

Setelah mendengar penjelasan daripada saya, pensyarah tersebut menegur cara percakapan saya. Menurut beliau, sebagai seorang guru saya tidak seharusnya menggunakan perkataan emmm, lah, kot dan mungkin. Tambah beliau lagi, saya seharusnya membaiki bahasa saya agar tidak mendatangkan masalah apabila saya menjalani  latihan mengajar di sekolah kelak.

ULASAN:

Berdasarkan teguran yang diberikan oleh pensyarah itu, saya telah menyedari kesalahan yang telah saya lakukan. Selama ini, kita tidak sedari bahawa kita telah melakukan kesalahan berikut kerana sememangnya percakapan sebegitu telah menjadi trend atau gaya dalam masyarakat Melayu. Menurut pensyarah tersebut, percakapan yang diselang-seli dengan perkataan emmm, lah, kot dan mungkin boleh menyebabkan orang ramai akan hilang keyakinan terhadap kita. Seolah-olah jawapan yang diberikan oleh kita tersebut belum tentu betul atau salah. Oleh sebab itu, sebagai seorang bakal guru, kita seharusnya melatih diri kita agar tidak menggunakan perkataan ini kerana ia boleh menyebabkan pelajar kita hilang keyakinan kepada kita.

Tuesday, February 15, 2011

MERBAHAYA







SITUASI:
Pada malam ini saya berazam untuk menyiapkan tugasan individu yang telah diberikan. Bagi menyiapkan tugasan yang diberikan, saya perlu merujuk beberapa buah buku. Ketika saya sedang merujuk sebuah buku, saya dapati terdapat kesalahan bahasa yang digunakan oleh pengarang. Antara kesalahan itu ialah:

...untuk memberi peransang kepada orang-orang yang lemah, tetapi ingin mengerjakan sesuatu pekerjaan yang merbahaya.

ULASAN:
Berdasarkan petikan di atas, kesalahan bahasa yang digunakan oleh pengarang tersebut terdapat pada perkataan merbahaya. Perkataan yang digunakan oleh penulis tersebut adalah salah sama sekali. Hal sedemikian kerana, imbuhan mer- tidak wujud dalam Bahasa Melayu. Perkataan yang tepat yang perlu digunakan oleh penulis tersebut ialah berbahaya. Sebagai seorang penulis, beliau perlu peka dengan keadaan ini. Beliau perlu menggunakan perkataan yang tepat kerana kesalahan yang dilakukannya itu boleh mengelirukan ramai orang terutamanya yang membaca hasil penulisannya.

Monday, February 14, 2011

CANTIK!

SITUASI:
Situasi kali ini berlaku semasa saya sedang berehat sambil membaca sebuah majalah hiburan. Pada satu halaman, tercetak sebuah lirik lagu yang sedang hangat diputarkan di radio mahu pun televisyen pada masa sekarang. Namun begitu, bukan kehangatan lagu tersebut yang menjadi persoalan kepada saya, tetapi kata-kata yang terkandung di dalam lirik itu yang menarik minat saya. Antara kata-kata yang terdapat dalam lirik lagu tersebut ialah:


Cantik luar cantik dalam cantik dengar sini 
Kalau cantik senyum cantik mesti cantik lagi
Senyum sikit nak tengok ada tak lesung pipit
Kalau tak ada pun aku masih mahu cubit
                                                           (Malique feat Najwa)


ULASAN:
Berdasarkan kata-kata yang terdapat dalam lirik lagu di atas, terdapat perulangan kata berlaku pada perkataan cantik. Perkataan cantik diulang sebanyak enam kali dalam lirik lagu di atas. Berdasarkan  lirik tersebut, perkataan cantik yang dinyatakan oleh penulis lirik itu mempunyai dua maksud iaitu:

1.      Cantik = Rupa paras yang elok
2.      Cantik= Gelaran bagi wanita

Situasi yang berlaku ini dipanggil ketaksaan leksikal yang bermaksud, satu perkataan mempunyai lebih daripada satu makna. Tanpa kita sedari, walaupun kadang-kadang lirik lagu boleh merosakkan akhlak dan minda manusia terutamanya remaja, namun sekiranya kita melihatnya dari pandangan yang positif, kita dapati kebanyakan lirik lagu yang dihasilkan menggunakan bahasa yang indah dan puitis untuk kita hayati. Oleh sebab itu, kita perlu bijak berfikir sama ada sesuatu perkara itu baik atau sebaliknya.