BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS �

Friday, February 11, 2011

SITUASI:

Situasi ini berlaku ketika saya menonton televisyen bersama-sama dengan rakan saya. Ketika itu, kami menonton sebuah rancangan Indonesia. Selepas menonton rancangan tersebut, kami merancang untuk pergi makan. Salah seorang rakan saya berjalan lebih laju daripada kami semua. Tiba-tiba dia berhenti dan mengatakan sesuatu kepada kami iaitu:

“Teman-teman cepat cikit sih. Aku udah lapar bangat nih”.

ULASAN:
Berdasarkan situasi di atas, salah seorang daripada rakan saya menggunakan bahasa Indonesia apabila bercakap dengan kami semua. Rakan saya itu mungkin terpengaruh dengan Sinetron yang ditontonnya. Hal ini merupakan sebahagian daripada masalah yang sering melanda masyarakat kita iaitu terpengaruh dengan bahasa asing. Banyak unsur bahasa asing yang sering kita dengar dalam pertuturan masyarakat kita pada hari ini. Sesetengah terpengaruh dengan bahasa Inggeris, Korea, Japan dan lain-lain lagi. Hal yang sedemikian berlaku kerana pengaruh media yang sering memutarkan lagu-lagu dan drama-drama dari negara lain sehingga mempengaruhi minda masyarakat kita. Sebagai contoh bahasa asing yang sering dituturkan oleh masyarakat kita terutamanya golongan remaja ialah:

Bahasa Inggeris : Assignment, handphone, chat, shopping dan lain-lain lagi.
Bahasa Korea : Aigoo (mengeluh), oppa (abang), Onni (kakak) dan lain-lain lagi
Bahasa Indonesia : Capet, kaget, sih, dan sebagainya.

Di atas adalah sebahagian daripada contoh yang biasa kita dengar. Pihak berwajib seharusnya mengambil serius hal ini kerana kewujudan bahasa asing dalam pertuturan masyarakat di negara kita boleh menjejaskan kedudukan bahasa Melayu. Tambah memburukan keadaan, bahasa asing ini bercampur aduk dengan bahasa Melayu sehingga menjadi amalan dalam percakapan seharian masyarakat kita. Kita seharusnya mencintai bahasa kita dengan menjaga dan memeliharanya daripada terpengaruh dengan bahasa lain.

Thursday, February 10, 2011

PAU YIK MUN



SITUASI:
Situasi terbaru berlaku semasa kuliah bagi kursus Sosiolinguistik. Pada suatu ketika, pensyarah kami menyebut nama sebuah restoran pau yang terkenal di Tanjong Malim iaitu RestoranYik Mun. Keadaan menjadi bising apabila para pelajar dan pensyarah cuba mempertahankan sebutan yang betul bagi perkataan “Yik Mun”. Menurut pensyarah kami, perkataan ‘Mun’ perlu disebut “Man” sekiranya menurut bahasa Cina. Namun begitu, sesetengah pelajar pula mempertahankan sebutan  “Mun” dan bukannya disebut  “Man”.

ULASAN:
Berdasarkan situasi di atas, saya dapati terdapat pencanggahan pendapat mengenai sebutan sebenar bagi perkataan “Mun”. Keadaan ini berlaku kerana semua pelajar dan pensyarah adalah berketurunan Melayu dan tiada berketurunan Cina dalam kelas tersebut. Oleh sebab itu, mereka menyebutnya seperti mana bunyi ejaan tersebut dalam bahasa Melayu. Bagi menyelesaikan masalah ini, kita seharusnya bertanyakan kepada pelajar Cina cara sebutan yang betul bagi perkataan “Mun” agar maksud asalnya tidak berubah. 

Wednesday, February 9, 2011

PAK SU AKU NAK KAHWIN









SITUASI:
Situasi seterusnya berlaku melalui satu perbualan telefon antara saya dan ibu saudara saya yang berada di Kedah. Perbualan kami berkisar mengenai bakal isteri adiknya.

Saya: Mak cik dah tengok ke gambar bakal isteri pak su?

Mak cik: Dah tengok dah. Pak su ko hantar MMS semalam. Segak jugak bakal bini dia.

ULASAN:
Buat pertama kalinya saya mendengar perkataan segak digunakan bagi menggambarkan kecantikan seorang wanita. Kebiasaannya saya menggunakan perkataan segak bagi menggambarkan ketampanan seorang lelaki. Berdasarkan situasi itu, saya dapat membuat rumusan bahawa bahasa kita sebenarnya sangat luas dan bervariasi. Seperti mana di atas, masyarakat Kedah menggunakan perkataan segak bagi menggambarkan kecantikan seseorang sama ada lelaki atau perempuan. Selain daripada manusia, perkataan segak juga boleh digunakan pada sesuatu yang lain. Contohnya untuk menggambarkan kecantikan baju, rumah dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dari segi bahasa perkataan tersebut kurang sesuai digunakan untuk menggambarkan kecantikan seorang wanita. Namun begitu, disebabkan bahasa adalah berbeza mengikut kumpulan masyarakat, maka perkataan segak boleh diterima bagi menyatakan kecantikan seorang wanita bagi masyarakat Kedah.

Tuesday, February 8, 2011

MENGANDUNG ATAU BERTELUR

SITUASI:

Situasi kali ini berlaku di sebuah klinik. Tujuan saya ke klinik adalah untuk menemani kawan saya berjumpa dengan doktor kerana deman. Ketika menunggu giliran nama kawan saya dipanggil, saya terpandang dua orang kanak-kanak sedang melihat ikan di dalam sebuah akuarium yang diletakkan berhampiran dengan kaunter mengambil ubat. Sambil melihat kanak-kanak tersebut, saya terdengar perbualan antara mereka. Salah seorang daripada kanak-kanak tersebut berkata:

“wah, besarnya perut ikan ni! Mesti ikan ni mengandung”.

Saya dan kawan saya tergelak mendengar kata-kata tersebut. Lalu terlintas di fikiran saya bahawa kata-kata yang diungkapkan oleh kanak-kanak tersebut merupakan satu daripadakesalahan bahasa.

ULASAN:

Kanak-kanak sememangnya mempunyai sifat ingin tahu dan mereka juga mudah keliru dengan perkara yang dilihat atau didengar oleh mereka. Kanak-kanak tersebut biasa melihat wanita mengandung yang mana perutnya besar berbanding orang kebanyakan. Oleh sebab itu, kanak-kanak itu menyamakan ikan tersebut dengan wanita mengandung kerana perut ikan tersebut besar. Kesalahan ini berlaku kerana kurangnya pemahaman dan pengetahuan kanak-kanak tersebut kerana fikiran mereka masih belum matang dan berkembang. Mereka juga dalam proses belajar dan mengenal persekitaran mereka. Oleh itu, mereka tidak mengetahui bahawa ikan merupakan spesis binatang yang bertelur dan bukannya mengandung

Monday, February 7, 2011

SELAMAT TAHUN BARU CINA





SITUASI:
Akhirnya pada pagi ini aku tiba ke Tanjong Malim setelah menempuh perjalanan hampir 8 jam dari Kelantan. saya tiba agak lewat di kolej iaitu pada pukul 7 pagi kerana berlaku sedikit kesesakan lalulintas di laluan Kota Bharu-Kuala Lumpur. Setelah mandi dan solat subuh, saya sempat mendengar radio melalui telefon bimbit sebelum ke kelas. Semasa mendengar salah satu daripada iklan sebuah radio swasta, saya mengesan satu kesalahan bahasa yang dilakukan iaitu:

Individu X: Tahun ini lu jangka dapat berapa libu angpau??
Individu Y: Enam libu linggit.

ULASAN:
Kesalahan bahasa yang digunakan tergolong dalam masalah pelat atau kurang betul mengucapkan kata-kata. Kebiasannya masalah sebutan r kepada l dilakukan oleh kaum Cina.Walaupun terdapat kesalahan sebutan, tetapi maksud yang hendak disampaikan adalah betul. Seharusnya kita sebagai warganegara Malaysia (tidak mengira kaum) perlu fasih menggunakan bahasa ibunda, iaitu Bahasa Melayu. Hal sedemikian kerana, Bahasa Melayu dapat memupuk perpaduan antara kaum kerana semua kaum berkomunikasi antara satu sama lain menggunakan Bahasa Melayu. Oleh sebab itu, sahutlah seruan kerajaan supaya menyintai bahasa kita.

Saturday, February 5, 2011

ANTARA SUKARELA DAN DIPAKSA

SITUASI:

"Tuan dan puan diminta untuk menderma bagi membantu menyiapkan masjid"

Ketika berhenti solat Zuhur di sebuah masjid di Kuala Krai, saya terlihat kata-kata di atas ditulis di atas papan kayu dan digantung pada bahagian atas di pintu utama masjid tersebut.

ULASAN:
Kata-kata di atas sememangnya biasa dilihat di masjid atau surau-surau. Namun begitu, kata-kata tersebut menarik perhatian saya kerana bahasa yang digunakan tidak gramatis dalam konteks maksud  ayat tersebut. Hal sedemikian kerana, saya merasakan maksud asal kata-kata tersebut ialah meminta derma atau sumbangan bagi menyiapkan masjid tersebut. Namun begitu, berdasarkan ayat tersebut, maksudnya telah berubah iaitu seperti memaksa orang ramai untuk menderma. Oleh sebab itu, kita seharusnya bijak menyusun kata-kata agar tidak disalah tafsir oleh orang ramai.

Friday, February 4, 2011

SITUASI:


Hari ini saya dibawa berjalan-jalan ke Kota Bharu oleh abang saya. Perjalanan daripada Machang ke Kota Bharu mengambil masa lebih kurang satu jam. Ketika saya asyik melihat permandangan di sepanjang perjalanan ke Kota Bharu, saya terdengar perbualan antara abang saya dan isterinya. Tiba-tiba saya terdengar satu ungkapan yang agak janggal dek telinga saya, iaitu:

"Abang, cuba abang tengok rumah tu. Ada seketul rumah tu jer kat tengah-tengah sawah. Biar betul".

ULASAN:

Sepanjang saya menulis diari mengenai kesalahan bahasa, kesalahan yang paling banyak saya kesan ialah kesalahan dari segi penggunaan penjodoh bilangan. Mungkin masih ramai masyarakat kita yang belum mahir menggunakan penjodoh bilangan. Namun begitu, ada juga segelintir daripada masyarakat yang terikut-ikut dengan dialek yang mereka gunakan. Penjodoh bilangan bagi rumah ialah sebuah rumah dan bukannya seketul rumah. Oleh sebab itu, kita perlu berhati-hati semasa bercakap kerana bahasa mencerminkan bangsa kita.